Tuesday, 12 December 2017

Tafsir ayat 21, surah ar-Room

Dalam seminggu ini saya tidak dapat “move on” dengan ayat 21 daripada surah ar-Room ini, ketika bersendirian teringat ayat ini, ketika diatas motosikal teringat ayat ini, ketika ingin memandu teringat ayat ini. Pendek kata, ayat ini meng’hantu’i saya seminggu ini dimana sahaja.

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ – 30:21

Allah SWT berfirman:
“Dan diantara tanda-tanda (kekuasaan)Nya ialah, Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan(suami/isteri) daripada (jenis) kamu sendiri, supaya kamu (merasa) tenang kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu mawaddah dan rahmah, Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”~ ar-Room, 21.

Sunday, 19 March 2017

Dunia Kerjaya

Sudah hampir 4 bulan saya tidak menulis di blog ini.

Bukan sibuk, cuma pengurusan masa yang tidak efisen.

Setelah 6 bulan tamat pengajian di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), mula mencari-cari peluang pekerjaan di perusahaan lain. Ya, "bonding" telah tamat bersama PETRONAS, harapan untuk bertugas dengan PETRONAS kian luntur.

Marah!? Tidak, dalam pada ekonomi negara yang tidak stabil dan industri petroleum dunia yang meruncing, saya akur belum dipanggil bertugas bersama PETRONAS.

Alhamdulillah di penghujung tahun 2016 saya dipanggil untuk temuduga di salah sebuah anak syarikat Edra Power Holdings SDN BHD iaitu Jimah Operations and Maintenance, Port Dickson.

Syarikat apa tu Edra Power Holdings?

Edra Power Holdings adalah syarikat janakuasa elektrik. Di Malaysia, Edra Power Holdings memiliki 5 stesen janakuasa elektrik (Power Plant) menjadikannya syarikat janakuasa elektrik kedua terbesar di Malaysia setelah Malakoff yang paling besar.

Tuesday, 15 November 2016

Benarkah Hadith-hadith al-Sunan al-Sittah Semua Sahih?

Saya agak pelik dengan kenyataan sebahagian pihak yang mendakwa bahawa semua hadith didalam al-Sunan al-Sittah adalah sahih atau diterima(maqbul) justeru boleh disebarkan semuanya tanpa perlu perincian takhrijnya.

Ini adalah pendapat yang sangat keliru dan sangat kurang berhati-hati dalam melontarkan kaedah.

Saya katakan begitu kerana telah terbukti didalam al-Sunan al-Sittah terdapat hadith yang dha'if. Bahkan dha'if yang berat dan teruk seperti dha'if jiddan(sangat lemah) dan maudhu'(palsu/direka).

Lebih mendukacitakan saya dan ramai lagi pihak terutama sekali para pengkaji hadith, dakwaan ini dilontarkan oleh golongan yang dipanggil sebagai 'ustaz' dalam kalangan masyarakat.

Oleh yang demikin, saya ingin bawakan disini beberapa riwayat daripada al-Sunan al-Sittah yang dha'if bahkan dha'if yang teruk.

Didalam Sunan Ibn Majah, al-Imam Ibn Majah meriwayatkan hadith dengan berkata:"telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basyar, telah menceritakan kepada kami Abu Daud, telah menceritakan kepada kami Kharijah bin Mus'ab, daripada Yunus bin 'Ubaid, daripada al-Hasan, daripada 'Utaiy bin Dhamrah al-Sa'diy, daripada 'Ubaiy bin Ka'ab, beliau berkata:"Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya bagi wudhu' itu ada Syaita (yang) dipanggil ia Walhaan, maka takutlah kalian (daripada) was-was air"(Sunan Ibn Majah, Ibn Majah, Mu`assasah al-Risalah 1430H, jil.1 hal.270)
Pada sanad hadith ini menurut al-Syeikh al-Muhaddith Syu'aib al-Arnaut rhm ketika membuat tahqiq Sunan Ibn Majah terdapat 2 perawi yang bermasalah iaitu Kharijah bin Mus'ab dan 'Utaiy bin Dhamrah.

Ilmu dan Adab Suluhan Salaf al-Soleh

Sebahagian ‘ulama mengira bahawa keperluan kepada adab sama seperti keperluan kepada ilmu. Bahkan dalam kalangan mereka ada yang rihlah pada mencari adab sama seperti rihlah pada mencari ilmu.

Kata al-Hajjaj bin Arta`ah rhm (seorang ilmuan kurun ke-2):
إن أحدكم إلى أدب حسن أحوج منه إلى خمسين حديثا

“sesungguhnya setiap seorang daripada kamu kepada (mencari) adab yang baik lebih perlu daripadanya kepada (mencari) 50 hadith”


Kata Zakariya al-‘Anbari rhm:
علم بلا أدب كنار بلا حطب، وأدب بلا علم كروح بلا جسم


“ilmu tanpa adab seperti api tanpa kayu bakar, dan adab tanpa ilmu seperti ruh tanpa jism(badan)”

Kata Ibn al-Mubarak rhm:
قال لي مخلد بن الحسين: نحن إلى كثير من الأدب أحوج منا إلى كثير من الحديث


“telah berkata kepadaku Makhlad bin al-Husain: “Kami kepada (mencari) banyak adab lebih perlu untuk kami kepada (mencari) banyak hadith””

Kata Habib bin al-Syahid (w. 145H) rhm kepada anaknya Ibrahim rhm:
يا بني! ايت الفقهاء والعلماء، وتعلم منهم، وخذ من أدبهم وأخلاقهم وهديهم، فإن ذاك أحب إلي لك من كثير من الحديث


“Wahai anakku! Datangilah fuqaha dan ulama, belajarlah daripada mereka dan ambillah daripada adab mereka, akhlak mereka dan petunjuk mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu lebih aku sukai untukmu daripada (mengambil) banyak hadith”


Rujuk: Adab al-Salaf, Ridha bin Abdul Hamid (taqdim: Dr. Yasir bin Husain Burhami), Dar al-Khulafa al-Rasyidin 1432H, hal.13)

Abu Farooq,
Alor Setar, Kedah.

Saat Kematian Imam al-Jarh wa al-Ta'dil Abu Zur'ah al-Razi (w.264H)

Sudah berbulan-bulan saya tidak menulis disini. Pada malam ini rasa terpanggil untuk coret sedikit kisah saat kematian seorang tokoh hadith besar ummat Islam iaitu Abu Zur'ah al-Razi (w.264H). Saya juga ingin membubat kategori baru bagi penulisan saya iaitu قصص المؤثرة من العلماء الجهابذة "Qisas al-Mu`aththarah min al-'Ulama al-Jahabizah" yang maksudnya "kisah-kisah yang membekas dihati daripada para ulama yang pakar".

Ibn Waarah berkata:"Aku dan Abu Hatim hadir saat kewafatan Abu Zur'ah, kami pun fikir bagaimana nak ditalqinkan(ajar syadah) insan seperti Abu Zur'ah? Maka aku pun berkata (meriwayatkan hadith mengenai syahadah), telah menceritakan kepada kami Abu 'Asim, telah menceritakan kepada kami 'Abdul Hamid bin Ja'far.."

Lalu Ibn Waarah diam (tidak sambung riwayat itu sedangkan beliau tahu.)

Maka Abu Hatim terus sambung :"..telah menceritakan kepada kami Bundaar, telah menceritakan kepada kami Abu 'Asim, telah menceritakan kepada kami 'Abdul Hamid.."

Lalu Abu Hatim diam (tidak sambung riwayat itu sedangkan dia tahu.)

Maka Abu Zur'ah al-Razi rhm yang sedang nazak itu buka matanya kerana mendengar mereka berdua seolah-olah terlupa sanad riwayat itu lalu berkata:"telah menceritakan kepada kami Bundaar, telah menceritakan kepada kami Abu 'Asim, telah mengkhabarkan kepada kami 'Abdul Hamid, telah menceritakan kepada kami Solih bin Abi 'Ariib, daripada Kathir bin Murrah, daripada Mu'az, beliau berkata:"Sabda Rasulullah SAW:"sesiapa yang akhir ucapannya Laa Ilaaha Illallah.."

Belum sempat beliau habiskan hadith itu keluar ruhnya di atas akhir ucapannya adalah syahadah.

Rujuk: Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi dan al-Siyar oleh al-Zahabi.

*Betapa kehidupan seorang muhaddith agung dalam kalangan mutaqaddimin, mati dalam keadaan meriwayatkan hadith dan atas syahadah. Allahu Akbar.


Abu Farooq,
Alor Setar, Kedah.

Thursday, 10 November 2016

Redhalah kasih dipersiakan

Redhalah kasih dipersiakan

Wajah mu bagai semalam aku tatapi,
Angin malam memberita seribu rindu dulu,
Aku yang kebejatan mapan dijendela mu,
Kerna jalan ku terang dianggap gelap malap derita,
Bayang mu ku kejar jasad yang telah tiada,
Masihkah mengharap rangkulan kasih cinta,
Alangkah indahnya jika khitbahnya hazilul fikri, diriku,
Alangkah indahnya sahutan bunganya, dirimu,
Aku terus bekhayal dongeng-dongeng bersamamu,
Disaat suara alam memecah hening malamku,
Meraih kemapanan disisi Tuhan, 
Aku menuntut bagian ku selepas fanaa` ini,
Jika benar derita penghujungku,
Redhalah kasih dipersiakan atas lidahmu..
Abu Farooq
10112016

Saturday, 23 January 2016

SAYA DAN INDUSTRI MINYAK DAN GAS

 ABU FAROOQ NIK MOHAMAD

Malam 23/1/2016 tamat sudah cuti semester saya di Alor Setar,Kedah tempat yang dirasa bagai tiada manis lagi seperti dulu walaupun kadangkala saya keliru dengan perasaan itu adakah hanya kerana mawar hitam yang belum sempat dipetih disini telah hilang atau memang hakikat kemanisan itu memang pergi. Pada mala mini saya akan berangkat ke K.Terengganu, Terengganu bagi meneruskan sesi latihan saya di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) untuk permulaan semester dua.

Bukan tujuan utama.

Sejujurnya, menceburi industri minyak dan gas bukanlah arah tujuan utama saya. Kerana saya bercita-cita untuk berada dalam industri penyelenggaraan pesawat(aircraft maintenance) dan memang tahun akhir diploma kejuruteraan mekanikal saya di UiTM P.Pinang saya di pengkhususan aeroangkasa. Semua semangat ini meleset apabila saya mula belajar hadith dan saya mula minat kearah pengajian hadith dan bahasa ‘arab secara khusus. Sejak awal semester 4 saya mula mengumpul bahan bacaan didalam bidang hadith dan bahasa ‘arab sehingga di rak buku saya di hostel ketika itu dipenuhi buku-buku hadith berbanding buku-buku kejuruteraan mekanikal.